Pages

Friday, December 19, 2008

Beginikah Etika Seorang Doktor (Part 1)

"Emak awak mesti menjalani pembedahan
craniectomy!", itulah kata doktor pakar tempat
saya merujuk kes emak.

Nama craniectomy itu sudah cukup menggerunkan
saya. Tempurung kepala emak saya akan ditebuk
untuk merawat bahagian yang sakit. Selepas itu
tulang yang telah ditanggalkan itu tidak akan
dipasang semula. Bahkan bahagian yang berlubang
itu hanya akan ditutup dengan kulit kepala
semata-mata.

Aduh, tak terbayang hendak melihat emak derita.
Saya termenung.

Semuanya bermula sejurus selepas kepulangan
saya
ke Malaysia. Semasa itu emak saya mengadu
yang dia
sering mengalami sakit kepala yang teruk.
Kadang-kadang sampai menggigil dan berpeluh.
Katanya, bilik tidur kadang-kadang seperti
berpusing dan emak selalu rebah.

Abang-abang sudah berusaha membawa emak ke
klinik.
Selalunya, doktor di klinik akan memberikan emak
saya tiga jenis ubat iaitu ubat penahan sakit,
ubat angin dan ubat jalan darah. Maklumat-
maklumat
itu sungguh tidak membantu. Saya pergi ke klinik
yang selalu emak kunjung untuk bertanya tentang
jenis ubat yang diberikan selama ini kepada emak
saya tetapi doktor terbabit enggan memberitahu.
Saya melihat, motifnya ialah supaya saya tidak ke
farmasi untuk membeli sendiri ubat tersebut.

Inilah bahananya apabila sistem di Malaysia
membenarkan doktor merawat dan membuat
diagnosis
di klinik serta menjual sendiri ubat sedangkan
farmasi adalah disiplin ilmu yang berlainan. Malah
di sana akan berlaku pelbagai conflict of interest
kerana doktor sepatutnya memberi ubat yang
paling
berkesan dan murah, dan bukannya yang
menjanjikan
komisen dari syarikat pengeluar ubat terbabit.



Geram sungguh saya dengan respond klinik
tersebut.
Akhirnya saya mengambil keputusan untuk
membawa
emak ke sebuah hospital pakar swasta. Di situ,
emak saya dirujuk ke klinik ENT (Ear, Nose and
Throat). Pelbagai ujian beserta CT Scan dan MRI
diadakan. Wang sudah keluar beribu ringgit dan
akhirnya kami tiba ke suatu konklusi iaitu emak
saya mengalami sejenis penyakit yang disebut
sebagai chronic suppurative otitis media (CSOM)
iaitu jangkitan bakteria yang kronik di telinga
tengah. Ia telah menyebabkan struktur telinga
emak
rosak, di samping lapisan tempurung kepala yang
turut terjejas. Jangkitan juga telah merebak ke
pelbagai struktur nerve dan ia telah menyebabkan
lidah emak menjadi agak senget. Apa yang pasti,
telinga kanan emak sudah tidak boleh mendengar
lagi.

Saya berasa sangat sedih. Kes emak telah dirujuk
ke bahagian neurology dan akhirnya doktor pakar
terbabit telah mencadangkan agar emak saya
menjalani pembedahan kepala yang disebut
sebagai
craniectomy dengan belanja RM9 ribu.



Oleh kerana emak sudah tidak berdaya
menanggung
sakit, beliau dengan berat hati menyatakan
persetujuannya untuk menjalani pembedahan
tersebut. Akan tetapi, saya bertekad untuk
mendapatkan pandangan kedua di dalam hal ini.
Syukur Alhamdulillah, isteri saya seorang doktor
dan kami pula hidup bertahun-tahun di dalam
masyarakat perubatan di Ireland. Ramai kawan
yang
kini sudah menjadi doktor pakar dan mereka
memberikan pelbagai pendapat.

Melalui beberapa orang rakan, saya membawa
emak ke
sebuah hospital universiti di Kuala Lumpur. Emak
dirujuk ke bahagian ENT. Namun, hasil bacaan
mereka kepada imej CT Scan dan MRI, mereka
menjadi
keliru. Tambahan pula emak saya tidak demam
dan
tidak berasa sakit, kecuali ketika diserang pening
kepala tersebut sahaja. Akhirnya doktor pakar dari
pelbagai jabatan berkumpul dan mengadakan
mesyuarat.



Mereka sampai kepada keputusan bahawa emak
saya
tidak perlu menjalani pembedahan craniectomy
yang
berisiko tinggi itu. Cukup sekadar rawatan
intensif antibiotic infusion (drip) selama
kira-kira 6 minggu. Emak saya perlu menerima
antibiotik CIPROBAY® (ciprofloxacin) selama
sekurang-kurangnya 6 minggu. Syukur
Alhamdulillah
pembedahan tersebut dapat dielakkan.

Maka pada bulan Ramadhan itu, yang merupakan
Ramadhan pertama saya di Malaysia selepas 11
tahun merantau di luar negara, saya berulang Ipoh
ke KL hampir tiga kali seminggu. Ketika itu isteri
saya pula baru sahaja melahirkan anak kami yang
kedua dan saya sentiasa berada di dalam keadaan
tersepit antara isteri dan anak-anak di Ipoh
dengan emak yang sedang terlantar di hospital
berkenaan di KL.



Sepanjang berada di hospital tersebut, pelbagai
insiden berlaku. Saya diberitahu oleh pihak
hospital bahawa emak saya perlu menjalani
Gallium
Scan iaitu prosedur imbasan yang dilakukan
dengan
cara memasuk sejenis bahan radioaktif Gallium ke
dalam tubuh emak saya. Tujuannya adalah untuk
mengukur tahap keberkesanan antibiotik tersebut.
Namun, stok Gallium di Jabatan Perubatan Nuklear
sudah habis dan ia perlu dipesan dari England.
Emak dikehendaki membayar pesanan tersebut
yang
mencecah hampir RM2000.



Abang saya cuba bertanya kepada jururawat
tentang
Gallium Scan tersebut. Sekadar ingin mengetahui
komplikasinya. Tetapi jururawat telah membalas
soalan abang saya dengan sindiran yang cukup
menyinggung perasaan. Ketika doktor membuat
ward
round, jururawat terbabit berkata, "hah, inilah
dia orangnya doktor. Tanya ini, tanya itu. Doktor
cubalah terangkan kepada dia." Biadap sungguh
jururawat tersebut yang memuncungkan bibirnya
sambil jari menunding ke arah muka abang saya.



Saya juga berasa amat terkilan kerana beberapa
pagi dalam seminggu, doktor pakar runding
(consultant) akan datang ke katil emak saya
bersama pelajar-pelajarnya. Mereka bercakap di
dalam Bahasa Inggeris sehingga meresahkan ibu
saya. Good Morning tiada, salam jauh sekali.
Tiba-tiba sahaja consultant tersebut berkata,
"makcik, jelirkan lidah!". Pelajar-pelajar
tersebut akan membelek-belek lidah emak saya
sambil mendengar penjelasan doktor.



Saya tidak dapat membayangkan betapa hinanya
emak
saya diperlakukan sedemikan rupa. Setaraf tikus
putih di makmal sahaja gayanya. Semasa saya
dirawat di hospital di Ireland, setiap kali doktor
atau jururawat datang ke katil saya, mulut mereka
begitu manis dan ringan untuk mengucapkan
kata-kata yang mempamerkan nilai kemanusiaan
dalam
diri mereka. Apalah salahnya jika diminta izin
terlebih dahulu dan selepas pemeriksaan selesai,
ucapkan terima kasih kepada emak saya kerana
mahu
bekerjsama.



Memanglah emak saya hanya orang kampung,
tetapi ia
bukan alasan untuk doktor tersebut berlaku biadap.
Apatah lagi di hadapan pelajarnya. Secara tidak
langsung dia mengajar etika negatif itu kepada
anak-anak muridnya dan tunggu sahaja 10 tahun
dari
sekarang, pelajar tersebut akan meneruskan tradisi
buruk itu selepas bergelar doktor.



Tidak cukup dengan itu, tragedi bersiri terhadap
sikap petugas hospital kepada emak berlarutan di
Jabatan Radiologi. Oleh kerana tangan emak saya
sudah bengkak-bengkak dan tidak lagi mampu
menerima antibiotic infusion (drip), maka emak
saya dikehendaki menjalani suatu prosedur ringkas
angioplasty untuk menanam satu tiub di dalam
lengan emak saya. Tiub ini akan digunakan untuk
memasukkan antibiotik kerana emak saya akan
menjalani rawatan tersebut untuk tempoh 3
minggu lagi.



Saya bergegas datang dari Ipoh sebelum subuh
lagi,
kerana emak saya dijadualkan untuk menjalani
rawatan tersebut pada jam 8:30 pagi. Setibanya di
hospital, saya menyorong emak ke Jabatan
Radiologi
dan kami menunggu giliran di kerusi yang
disediakan. Saya menjenguk senarai nama
pesakit di
bilik rawatan tersebut. Nampaknya hanya ada tiga
orang pesakit yang akan menjalani prosedur
angioplasty dan emak saya di giliran yang kedua.

09:30...



10:30...



11:30...

Wah, selepas tiga jam menunggu, tiada sebarang
khabar berita. Emak saya sudah mula pening
kerana
keletihan duduk di atas kerusi roda. Saya mula
panas hati dan menjenguk ke kaunter.



"Assalamualaikum nurse. Emak saya dah berada
di
sini sejak jam 8:15 pagi dan sekarang sudah
hampir
12 tengah hari. Apa yang berlaku?", saya cuba
mendapatkan penjelasan.



"Encik duduk dulu, nanti saya periksa apa yang
berlaku", jawab jururawat tersebut.



Selepas 15 minit, tiada sebarang respond yang
saya
terima. Emak sudah agak lesu dan seperti mahu
rebah. Tambahan pula dengan cuaca yang agak
panas
ketika itu.



Akhirnya saya pergi ke pintu masuk bilik
pentadbiran jabatan dan mengintai-intai kalau ada
sesiapa yang boleh saya ajukan soalan. Tiba-tiba
seorang lelaki mengarahkan seorang jururawat
menutup pintu di hadapan batang hidung saya. Hati
saya sudah tengah hari, panas membakar seperti
mahu merentungkan sesuatu.



Saya menahan pintu itu dari ditutup dan meminta
izin untuk berjumpa dengan doktor di dalam.
Alhamdulillah jururawat tersebut bersetuju
membawa
saya berjumpa dengan doktor tersebut. Baru
sahaja
saya mahu membuka mulut bertanya, saya
diserang
oleh doktor tersebut dengan bahasa yang kasar.



"Eh, awak ingat kerja doktor ni senang ke? Awak
tak nampak ke saya tengah buat prosedur ni? Ini
kes kecemasan, kalau tidak dilakukan sekarang,
tangan pesakit ni mungkin terpaksa dipotong!", dia
menengking saya sambil menunjukkan imej tangan
seorang pesakit yang sedang berada di dalam bilik
pembedahan.

0 comments: