Pages

Wednesday, March 10, 2010

Selesai Sudah Amanah Itu...

Setelah kewafatan baginda Rasulullah yang tercinta, kaum muslimin melakukan musyawarah untuk memilih pengganti bagi menggantikan kepimpinan umat Islam pada waktu itu.Ada beberapa nama calon yang telah dicadangkan sehinggalah akhirnya nama seorang sahabat akrab rasulullah yang terkenal dengan sifat membenarkan, Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah dipilih hasil daripada permusyawarahan tersebut.Tatkala diangkat oleh sahabat-sahabat yang lain bagi memegang tampuk pemerintahan khalifah, beliau menyampaikan sebuah pidato yang cukup menarik dan benar-benar ikhlas dari jiwa yang sentiasa takutkan pembalasan di akhirat nanti dengan sebuah ucapan: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku”

Sangat menarik untuk kita renungkan di sini bahawa seorang pemimpin itu bukanlah orang yang sentiasa benar dalam segala aspek kehidupan.Kadangkala seorang pemimpin secara tidak disedari ada melakukan kesilapan.Namun orang sering melihat sedikit kesilapan atau kekhilafan itu adalah perkara yang sangat-sangat tidak patut ada pada sebuah kepimpinan itu.Hakikatnya, itu adalah sebuah pelajaran dan muhasabah bagi sebuah kepimpinan itu untuk diperbaiki pada masa-masa yang akan datang jika diizinkan oleh-Nya.Kerana untuk memegang sebuah amanah yang penting adalah merupakan sebuah perjuangan yang memerlukan pengorbanan masa, fikiran, keringat dan juga air mata.Tambah-tambah lagi untuk tetap istiqamah dengan prinsip yang telah ditetapkan.

Kita pernah menghadapi masa-masa kegemilangan Islam suatu ketika dahulu di mana pada ketika itu merupakan zaman keemasan bagi umat Islam.Lahirnya tokoh-tokoh sains seperti Ibnu Sina, Ibnu Jarir, Ar-Razi, Al-Khawarizmi, Al-Kindi dan banyak nama-nama penting lagi yang perlu kita pelajari daripada mereka.Ada juga dari kalangan pemimpin yang terbilang seperti Salahuddin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fateh, Harun Ar-Rasyid, Umar Ibnu Aziz dan ramai lagi.Munculnya tokoh-tokoh perbaikan umat seperti Imam Syafi’e, Imam Ibnu Taimiyyah, Imam Al-Ghazali, Imam Hasan Al-Banna dan Syeikh Ahmad Yasin.Semua itu merupakan sejarah kegemilangan islam suatu ketika dahulu.Diulangi lagi, semua itu pernah menjadi sejarah bagi kita dan ini membuktikan bahawa perkara itu tidak mustahil untuk terjadi lagi pada masa sekarang.

Apa yang ingin saya kaitkan di sini adalah terdapatnya sebuah kepimpinan yang bagus adalah buah hasil daripada produk-produk yang telah dihasilkan.Suatu analogi yang pernah disampaikan oleh seorang ulama pada abad ini, Ust. Mustafa Masyur.Beliau mengatakan bahawa dalam usaha untuk membina sebuah bangunan pencakar langit yang begitu gah banyak unsur-unsur yang perlu diperhatikan.Mulai dari lakaran pelan bangunan, sumber pendanaan, jumlah pekerja, dukungan moral dan juga bahan-bahan asas dalam pembinaan bangunan tersebut.Dan bahan-bahan asas untuk membina bangunan seperti batu, pasir, simen, konkrit serta kayu-kayan yang digunakan haruslah mempunyai kualiti yang baik.Setiap unsure-unsur ini harus diperhatikan dengan teliti agar kemudian nanti setelah siap bangunan tidak terjadi hal-hal yang tidak diinginkan.Kadang-kadang kerana ingin cepat siap bangunan tersebut, beberapa hal penting tidak diperhatikan seperti kekuatan dasarnya tidak benar-benar kuat.Untuk tahun-tahun awal masih kuat.Namun apa yang akan terjadi jika kedepannya cuaca semakin tidak bagus dengan banjir, hujan dan angin kencang yang tidak menentu dan beban bangunan yang semakin bertambah.Adakah bangunan itu akan semakin teguh atau semakin tunduk menyembah bumi?
Begitulah analogi dalam sebuah kepemimpinan.Pengalaman yang tidak seberapa ini banyak mengajar saya bahawa kekuatan dasar sesebuah organisasi harus sentiasa digerakkan.Jika tidak kita cuma menunggu waktu untuk tumbang.

Perubahan

Semua orang ingin melakukan perubahan.Tidak kira perubahan itu bersifat internal ataupun eksternal, yang jelas semuanya inginkan perubahan.Dan juga perubahan itu memang perlu.Rasulullah diperintahkan untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah kerana inginkan perubahan terhadap dakwah Islam yang dibawanya.Dari suatu keadaan yang kurang baik ke arah keadaan yang lebih bagus penerimaannya.Dari suatu sifat yang tidak sihat kepada sifat yang lebih sihat.Dari suatu sistem yang tidak terurus kepada sistem yang teratur dan sistematik.Namun, kadang-kadang kita sebagai pihak yang ingin melakukan perubahan dalam sebuah kepimpinan seringkali tidak mengambilkira aspek penerimaan ahli-ahli di bawah.Kita melakukan suatu perkara tanpa melihat kepada siapa kita sedang ubah.Adakah mereka boleh menerima perubahan itu secara mendadak ataupun sangat sulit untuk menerimanya?Adakah pernah kita tanyakan kepada mereka apa sebenarnya perubahan yang mereka inginkan?Adakah kita sedar bahwa kita berhadapan dengan siapa?Dalam Islam terdapat suatu istilah fiqh waqi’i atau fikih setempat.Mungkin kita perlu sama-sama membaca buku ini dan buku yang lain supaya pemahaman kita terhadap perubahan yang ingin dilakukan juga seiring dengan keadaan pemahaman orang-orang di bawah kita.

Namun, janganlah pernah pesimis apabila kita belum mampu dalam melakukan suatu perubahan.Ini kerana mungkin sebab-sebab di atas masih belum kita fahami dengan sepenuhnya.Ditolak sekali bukan bermakna dipencilkan selamanya.Mungkin usaha ke arah perbaikan masih belum optimal dan kadang-kadang niat kita masih belum tulus.Akan tetapi sentiasalah optimis di dalam hidup ini kerana Allah bergantung pada prasangka hambanya.

Suatu ketika Thomas Alfa Edison sedang mencari suatu bahan bacaan mengenai perkara yang tidak difahaminya.Maka ibunya Nancy Elliot sibuk membantunya mencari bahan bacaan tersebut.Sayangnya, setelah berusaha selama berbulan-bulan tidak juga ditemukan.Namun, Nancy tidak putus asa, melainkan memberikan kata-kata yang begitu menginspirasi:”Thomas, anakku sayang, kita telah membuktikan bahawa ternyata tidak seorang pun kita temukan dapat menjawab semua ini dan tak satu buku pun pernah ditulis orang tentang hal ini.Thomas sayang, kamu tahu apa ertinya ini?Ya.. itu ertinya kamulah orang yang diminta Tuhan untuk menemukannya bagi orang lain.Ayuh nak, kamu cuba dan cuba terus…Ibu yakin suatu saat kamu pasti berhasil!!!!

Jadilah kamu seperti pohon buahan, dibaling dengan kayu dan batu.Namun dibalasnya dengan buah.

2 comments:

Walid Hafizul said...

luar biasa ni akh!!! memang menginspirasi...
mudah-mudahan kita tsabat

Ghaddafi el-Ghifary said...

sama-sama kita saling memberi inspirasi..
buatkan 20 target hidup dan cuba capainya secara perlahan-lahan tapi pasti..